hosni mubarak dikenakan hukuman penjara seumur hidup
Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak semalam dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mahkamah mendapatinya bersalah terbabit dalam pembunuhan penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat yang menggulingkannya tahun lalu
Turut dijatuhi hukuman sama kerana pembunuhan itu ialah bekas Menteri Dalam Negeri Hosni, Habib al-Adly sementara enam bekas pegawai kanan polis dibebaskan.Tuduhan rasuah terhadap anak bekas pemimpin itu, Alaa dan Gamal digugurkan kerana had status yang sudah luput
Mubarak turut dibebaskan daripada tuduhan rasuah itu.Pergelutan berlaku sebaik saja keputusan diumumkan
Mereka yang berada di dalam mahkamah yang mahukan bekas pemimpin itu dijatuhi hukuman bunuh, bergelut dengan pengawal keselamatan
“Kami mahukan institusi kehakiman yang bersih (daripada pegawai era Hosni),” jerit mereka
Seorang lelaki dilihat mempamerkan poster menggesa Hosni dihukum mati.Peguam di dalam mahkamah berang selepas keputusan itu diumumkan
Mereka bimbang Hosni dan Habib akan didapati tidak bersalah pada perbicaraan rayuan kelak
Bekas pemimpin Mesir itu yang bercermin mata hitam tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika Ketua Hakim, Ahmed Refaat membacakan hukuman itu.
Kedua-dua anaknya bagaimanapun kelihatan letih dan hampir menangis.Kekecohan berlaku di luar mahkamah ekoran pengumuman hukuman berkenaan
Penentang bekas pemimpin itu dilihat bersorak sementara penyokongnya menangis.
Hosni, satu-satunya pemimpin yang digulingkan dalam Kebangkitan Arab yang dibicarakan, Habib dan enam yang lain dibicarakan atas tuduhan terbabit dalam pembunuhan kira-kira 850 penunjuk perasaan yang menggulingkan kerajaan.
Hosni, anaknya, Alaa dan Gamal serta rakan perniagaan Hussein Salem yang melarikan diri ke Sepanyol, juga dibicarakan terhadap tuduhan rasuah – Agensi