Contoh jawapan kerja kursus tugasan PT3 Geografi 2020 Kegiatan Ekonomi Malaysia

Sekolah

Sekolah

Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) merupakan pendekatan baru pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak tahun 2014. Ini termasuklah pengenalan ujian instrumen pelbagai mata pelajaran bagi subjek Geografi iaitu berbentuk kerja kursus atau juga dikenali sebagai kajian lapangan. Kajian Lapangan Kurikulum Standard Sekolah Menengah Geografi Tingkatan 3 (KLGT3) ini merupakan antara satu komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang wajib dilaksanakan oleh setiap pelajar Tingkatan 3

Berbeza sedikit dengan tahun sebelum ini, difahamkan bahawa setiap sekolah bebas untuk memberikan tajuk bagi kajian kes ini. Namun ianya masih tertakluk kepada bab pengajian dalam silibus Geografi yang telah dipelajari para pelajar. Salah satu daripada tajuk cadangan atau contoh adalah “Kajian tentang faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di kawasan tempat tinggal atau sekolah anda.”

Kerja kursus atau kajian lapangan ini mempunyai skor wajaran sebanyak 20% daripada keseluruhan subjek Geografi. Justeru itu adalah amat penting bagi pelajar untuk menyiapkan tugasan ini dengan cemerlang bagi memperoleh gred A untuk subjek Geografi kerana skor wajaran bagi ujian bertulis adalah sebanyak 80%. Ini sebenarnya memberi kelebihan kepada para pelajar kerana tidak bergantung 100% kepada peperiksaan semata-mata tetapi boleh mendapat markah daripada kerja kursus ini dan mengurangkan bebanan atau tekanan ketika peperiksaan bertulis

Para pelajar dinasihatkan mengikut panduan dan arahan yang telah diberikan oleh guru mata pelajaran di sekolah masing-masing agar berjaya menyiapkan tugasan ini dengan sempurna dan seterusnya mendapatkan markah dan skor cemerlang di dalam subjek ini. Para guru pula diingatkan agar memberikan bimbingan secukupnya dan bersedia untuk memberi sokongan kepada para pelajar sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah

Tips Panduan Jawapan / Contoh Kerja Kursus / Kajian Lapangan / Tugasan PT3 Geografi 2020 – Kegiatan Ekonomi Malaysia

MYsumber akan membantu calon-calon PT3 2020 dalam menyediakan panduan serta memberikan tips-tips sebagai maklumat tambahan selain yang diberikan oleh guru-guru di sekolah masing-masing. Ianya termasuklah perkara atau aspek utama yang perlu ada dalam kajian kursus Geografi PT3 2020 ini seperti berikut:

Contoh Tajuk / Isu Kerja Kursus Geografi PT3

Berikut adalah contoh-contoh tajuk atau isu kerja kursus/kajian lapangan geografi PT3:

  1. Kajian guna tanah di kawasan tempat tinggal atau sekolah anda
  2. Kajian kes tentang pengangkutan di kawasan tempat tinggal
  3. Kajian lapangan tentang pekerjaan penduduk dalam pelbagai kegiatan ekonomi di sekitar kawasan sekolah
  4. Kajian kes tentang kejadian isu/pencemaran alam sekitar (air, udara, bau, tanah) yang berlaku di sekitar tempat tinggal / kawasan sekolah calon

Contoh Soalan Tugasan PT3 Geografi 2020

Calon dikehendaki menjalankan kajian tentang faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di kawasan tempat tinggal atau sekolah anda

Kerja kursus atau kajian lapangan ini hendaklah merangkumi objektif kajian seperti berikut:

  1. Menjelaskan konsep dan takrifan kegiatan ekonomi
  2. Mengenal pasti peta di kawasan kajian
  3. Menyatakan kegiatan ekonomi di kawasan kajian
  4. Melukis dan mentafsirkan graf bar tentang kegiatan ekonomi di kawasan kajian
  5. Menghuraikan faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di kawasan kajian
  6. Memberi cadangan kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan kajian

Proses Pelaksanaan Kerja Kursus Geografi PT3

Berikut adalah proses untuk melaksanakan kerja kursus /kajian lapangan Geografi PT3:

1. Menentukan Isu / Tajuk Kajian 

Pelajar hendaklah berbincang dengan guru masing-masing bagi menentukan isu yang ingin dikaji dalam KLGT3. Ianya hendaklah dipilih daripada kurikulum atau silibus Geografi yang telah dipelajari oleh pelajar

Penentuan tajuk kajian juga hendaklah menepati kehendak tugasan selaras dengan aspek / isi kandungan / maklumat kajian peta. Perkara utama yang perlu ada dalam tajuk kajian adalah nama kawasan tersebut. Sekiranya ingin lebih kreatif lagi calon boleh mengabungkan nama kawasan kajian dengan maklumat keseluruhan hasil dapatan tentang aspek / perkara tugasan yang diberikan seperti di atas

  • Pemilihan / Penentuan Kawasan Kajian
    Berdasarkan kehendak tugasan, kawasan kajian adalah di tempat tinggal ataupun sekolah calon. Bagi memudahkan calon melaksanakan tugasan, sila pilih kawasan yang diketahui oleh calon kerana ia dapat membantu calon terutamanya dalam melukis dan mentafsir peta lakar kawasan kajian oleh kerana ciri-ciri geografi yang ada di kawasan tersebut telah diketahui calon

2. Menentukan Objektif

Pelajar perlulah menentukan objektif kajian yang hendak dijalankan dalam KLGT3 selaras dengan tajuk atau isu yang telah dipilih. Ini penting kerana ianya adalah panduan hala tuju kajian yang hendak dijalankan

Objektif kajian ini hendaklah ditulis dengan bimbingan dan rujukan daripada guru masing-masing. (Rujuk contoh di atas sebagai panduan)

3. Menentukan Kaedah Kajian 

Pelajar juga hendaklah menentukan kaedah kajian yang sesuai bagi melaksanakan KLGT3. Ini penting bagi memastikan data kajian dapat dikumpul dengan lebih efisien dan berkesan. Berikut merupakan contoh kaedah kajian yang boleh dijalankan

KuantitatifKualitatif
i. Kaedah Borang Soal Selidiki. Kaedah Pemerhatian
ii. Kaedah Temu Bual
iii. Kaedah Rujukan / Analisis Dokumen

4. Mengumpul, Merekod dan Menganalisis Data atau Maklumat

Setelah mengenalpasti kaedah kajian yang ingin dilaksanakan, pelajar boleh mula mengumpul data atau maklumat melalui kaedah yang dipilih. Seterusnya data tersebut hendaklah direkod dan dianalisis untuk mendapatkan kesimpulan

Sila rujuk maklumat yang dikongsikan di bawah bagi mengetahui kaedah pengumpulan data yang sesuai mengikut tajuk kajian yang dipilih

5. Merumus dan Membuat Pelaporan

Hasil daripada data yang telah dikumpul, direkod dan dianalisis hendaklah dibuat kesimpulan atau rumusan mengikut tajuk atau isu yang dikaji seterusnya dibuat dalam satu bentuk pelaporan KLGT3

Format Penulisan Kerja Kursus Geografi PT3

Berikut adalah format asas yang perlu ada dalam penulisan laporan kerja kursus /kajian lapangan Geografi PT3 (KLGT3):

a. Penghargaan

b. Pendahuluan

c. Objektif Kajian

d. Kawasan Kajian

e. Kaedah Kajian

f. Hasil Kajian

g. Rumusan

h. Rujukan

Tajuk Kajian Dan Butiran Calon

(Sebagai contoh sahaja)

KAJIAN TENTANG FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEGIATAN EKONOMI DI KAWASAN TEMPAT TINGGAL / SEKOLAH

Kajian Oleh : _______________

Tingkatan : _______________

No. Kad Pengenalan :____________

Angka Giliran :_______________

Senarai Kandungan 

Senarai Kandungan perlu dibuat untuk memudahkan semakan terhadap setiap perkara berkaitan tugasan kajian. Contohnya adalah seperti berikut

BilIsi KandunganMuka Surat
1.Penghargaan1.
2.Pendahuluan / Pengenalan2.
3.Objektif Kajian3.
4.Kawasan Kajian4.
5.Kaedah Kajian5.
6.Dapatan Kajian (hasil keseluruhan kajian)6.
7.Rumusan7.
8.Rujukan8.
9.Lampiran9.

Penghargaan 

Secara dasarnya, sesebuah tugasan yang telah siap sepenuhnya perlu ada penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada individu, pihak yang terlibat dalam membantu memberikan input yang diperlukan terhadap tugasan yang dijalankan. Contoh penulisan penghargaan adalah seperti berikut

PENGHARGAAN

Pertama sekali syukur kepada Allah S.W.T. kerana limpah izin serta rahmatnya, dapatlah saya menyiapkan tugasan kerja kursus ini dengan jayanya. Seterusnya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengetua SMK Taman Bunga, Puan Hajah Kalsum Binti Shukri yang telah memberi kebenaran kepada saya untuk menjalankan kajian ini. Jutaan terima kasih juga saya tujukan kepada guru Geografi saya, Encik Fairuz bin Osman, yang tanpa penat dan lelah memberikan bimbingan dan tunjuk ajar sehingga kajian ini dapat diselesaikan dengan sempurna.

Selain itu, saya amat terhutang budi kepada kedua-dua ibu bapa saya yang telah memberikan peruntukkan perbelanjaan serta dorongan dan sokongan sepanjang kajian ini disiapkan.

Dalam pada itu, penghargaan juga saya tujukan kepada para responden yang telah memberikan kerjasama secukupnya juga buat rakan-rakan sekelas saya Siti Sarah, Nordiana, Fazira dan Syafiqah yang telah bersama-sama dalam menyiapkan kajian ini.

Tanpa sokongan dari setiap pihak yang terlibat tidak mungkin saya dapat menyiapkan kajian ini dengan jayanya kerana kerja-kerja untuk menyiapkan tugasan ini memerlukan motivasi, usaha, buah fikiran dan mahupun peruntukan kewangan bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar.

Pendahuluan / Pengenalan

Pendahuluan ataupun pengenalan adalah menyatakan terlebih dahulu tentang kawasan kajian, merangkumi tajuk, sebab-sebab pemilihan kawasan kajian dan latar belakang ciri fizikal dan budaya yang ada di kawasan kajian secara ringkas yang merangkumi aspek seperti pembagunan likasi kajian, sosio-ekonomi, guna tanah dan lain-lain. Contoh penulisan adalah seperti berikut

PENGENALAN

Kajian lapangan ini merupakan tugasan wajib seperti yang diarahkan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk dijalankan oleh setiap pelajar tingkatan 3 yang akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Tajuk kajian bagi kajian lapangan saya adalah (tajuk kajian) dan saya (nama) pelajar tingkatan 3 (nama kelas) dari sekolah (nama sekolah) telah melakukan kajian ini di kawasan (kawasan kajian).

Antara sebab utama saya memilih kawasan (kawasan kajian) sebagai kawasan kajian kerana ia merupakan tempat tinggal saya dan berdekatan dengan sekolah. Ini akan memudahkan urusan saya untuk membuat kajian kerana berhampiran dengan rumah saya. Selain itu, saya juga mahir dengan kawasan ini justeru memudahkan saya mendapat data-data yang berguna untuk direkodkan dalam kerja kursus saya.

Tempoh masa yang diberikan kepada saya telah saya gunakan dengan sebaiknya dari hari pertama sehingga hari kerja kursus ini disiapkan. Sepanjang saya melakukan kajian ini, saya telah menemu bual beberapa orang responden bertujuan untuk mendapatkan data-data yang tepat. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua responden kerana telah memberi kerjasama yang baik dan akhirnya saya berjaya menyiapkan kerja kursus ini dalam tempoh masa yang diberikan.

Objektif Kajian

Objektif kajian adalah sesuatu matlamat atau tujuan yang ingin diperolehi mengikut tugasan kajian yang diberikan. Objektif kajian juga merupakan perkara yang penting dalam sesuatu kajian. Contoh huraian objektif kajian adalah seperti berikut

OBJEKTIF KAJIAN

Objektif utama kajian ini dibuat adalah untuk memenuhi kehendak tugasan kajian peta melalui aspek dan perkara-perkara seperti berikut:

a) Menjelaskan konsep dan takrifan kegiatan ekonomi

b) Mengenal pasti peta di kawasan kajian

c) Menyatakan kegiatan ekonomi di kawasan kajian

d) Melukis dan mentafsirkan graf bar tentang kegiatan ekonomi di kawasan kajian

e) Menghuraikan faktor yang mempengaruhikegiatan ekonomi di kawasan kajian

f) Memberi cadangan kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan kajian

Kaedah kajian

Kaedah kajian merupakan metod atau cara yang dilakukan samada secara individu atau berkumpulan bagi mendapatkan data atau maklumat untuk menyelesaikan sesuatu tugasan yang ingin di kaji

Jenis kaedah kajian yang boleh dibuat adalah bergantung kepada kesesuaian kajian yang akan dijalankan iaitu samaada kualitatif , kuantitatif atau kedua-duanya sekali

KAEDAH KAJIAN

Bagi kajian ini, saya telah menggunakan kaedah kajian secara kuantitatif dan juga kualitatif. Pemilihan kedua-dua pendekatan kaedah kajian ini dilakukan adalah bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sesuai dengan kajian saya. Justeru, terdapat empat kaedah kajian yang telah dipilih bagi memastikan kajian ini dapat dilaksanakan dengan sempurna dan bersistematik.

1) Kaedah Pemerhatian

Kaedah pertama yang dibuat dalam melaksanakan kajian ini adalah kaedah pemerhatian. Saya telah membuat pemerhatian atau tinjauan di kawasan yang saya dapati berpotensi untuk dijadikan kawasan kajian buat kerja kursus ini. Ia juga bagi mengenalpasti kegiatan ekonomi yang terdapat di kawasan tersebut. Maklumat yang diperolehi tersebut akan membantu saya dalam melukis dan mentafsir peta kawasan kajian tersebut

2) Kaedah Temu Bual 

Selain itu, kaedah kedua yang digunakan bagi mendapatkan maklumat mengenai kajian saya adalah kaedah temu bual. Kaedah temu bual ini telah dijalankan terhadap beberapa orang informan yang dikenalpasti. Informan tersebut terdiri daripada orang penting atau berpengaruh di sekitar kawasan Taman Bunga seperti ketua kampung dan pengerusi jawatankuasa rukun tetangga.

Dengan menjalankan kaedah temu bual ini, saya dapat mengenalpasti beberapa jawapan awal terhadap kajian saya yang seterusnya boleh digunakan sebagai soalan dalam borang soal selidik bagi mendapatkan jawapan yang lebih menyeluruh atau mewakili kawasan tersebut.

Selain itu, jawapan yang diperoleh daripada para informan menerusi temu bual ini juga adalah untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam bagi objektif kajian yang ingin dicapai

3) Kaedah Borang Soal Selidik

Setelah menjalankan kaedah temu bual, saya telah meneruskan kajian saya dengan menggunakan kaedah borang soal selidik. Borang soal selidik telah diedarkan kepada penduduk di sekitar kawasan kajian yang telah dipilih.

Melalui kaedah ini, saya dapat mengumpul maklumat berhubung dengan beberapa perkara seperti berikut:

i. Menyatakan kegiatan ekonomi di kawasan kajian
ii. Menghuraikan faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di kawasan kajian
iii. Memberi cadangan kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan kajian

4) Tinjauan Literatur

Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, internet adalah satu gerbang limpahan pelbagai sumber bagi mendapatkan maklumat. Melalui laman sesawang berautoriti yang telah dilayari iaitu Portal Rasmi……………….., saya turut dapat memuat-turun bahan berkaitan kajian / tugasan ini untuk dijadikan rujukan tambahan.

Selain itu, terdapat beberapa lagi rujukan termasuklah buku berjudul…………….  Setiap bahan yang dirujuk akan disenaraikan di bahagian rujukan laporan ini.

Cara Membuat Borang Soal Selidik Tugasan Geografi PT3 2020

Dapatan Kajian

1. Konsep dan takrifan kegiatan ekonomi 

Penjelasan konsep dan takrifan kegiatan ekonomi ini boleh dibuat berdasarkan rujukan ke buku teks serta lain-lain rujukan yang boleh digunapakai

HASIL KAJIAN

TAKRIFAN KONSEP

Ekonomi adalah ilmu yang mengkaji bagaimana manusia mengagihkan sumber-sumber ekonomi yang terhad bagi memenuhi keperluan dan kehendak manusia yang tidak terhad. Kegiatan ekonomi pula adalah aktiviti yang dilakukan oleh manusia untuk mendapatkan sumber ekonomi tersebut di samping menghasilkan pendapatan. Kegiatan ekonomi di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga sektor iaitu sektor primer, sekunder dan tertier.

Sekolah

Rajah 1.1 Sektor Kegiatan Ekonomi

Pertama sekali, sektor primer merupakan kegiatan yang mengeluarkan bahan mentah terus daripada sumber semula jadi. Ianya merupakan kegiatan ekonomi terawal wujud di dunia ini dan diusahakan sejak dahulu lagi. Antara jenis kegiatan ekonomi di bawah sektor ini adalah pertanian, perikanan, penternakan, perlombongan, dan pembalakan.

Seterusnya, sektor sekunder pula adalah aktiviti ekonomi yang berasaskan kepada bahan mentah atau semula jadi. Ianya melibatkan penukaran bahan mentah tersebut kepada barangan siap atau produk untuk digunapakai oleh pengguna. Sektor ini termasuklah jenis kegiatan ekonomi seperti pembuatan atau perindustrian dan juga pembinaan.

Akhir sekali, sektor kegiatan ekonomi juga melibatkan sektor tertier. Sektor tertier boleh didefinisikan sebagai kegiatan ekonomi yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan. Sektor ini juga turut digelar sebagai sektor perkhidmatan. Sektor ini mamainkan peranan yang penting dalam memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Contoh jenis kegiatan ekonomi sektor ini adalah pelancongan, pengangkutan, pendidikan, kewangan dan perdagangan.

2. Latar Belakang Kawasan Kajian

Definisi latar belakang adalah dasar atau asas kepada sesuatu perkara. Latar belakang yang baik harus disusun dengan sejelas mungkin dan bila perlu disertai dengan data atau fakta yang mendukung

Ciri Fizikal
Ciri semulajadi dan bukan buatan manusia seperti bentuk muka bumi, saliran dan tumbuhan semulajadi

Ciri Budaya
Ciri yang terhasil daripada aktiviti manusia atau buatan manusia seperti pertanian, perlombongan, perindustrian, petempatan, pengangkutan dan perhubungan

Contoh Penulisan Seperti Berikut:

KAWASAN KAJIAN

Kawasan kajian saya untuk kerja kursus ini adalah daerah Melaka Tengah, Melaka Bandaraya Bersejarah. Terkenal sebagai daerah termaju di Melaka, Melaka Tengah merupakan salah satu daripada tiga daerah yang terdapat di Melaka dengan berkeluasan 304.29 km per segi. Daerah ini juga mempunyai 29 buah mukim dan beberapa buah bandar dan pekan termasuklah Bandaraya Melaka. Kedudukannya terletak di Selat Melaka yang merupakan antara laluan perdagangan yang sangat terkenal sejak zaman dahulu lagi menjadikannya sangat sesuai bagi pelbagai kegiatan ekonomi.

Melaka satu ketika dulu pernah menjadi pusat ekonomi termasyhur di dunia menyebabkan pertumbuhan kegiatan ekonomi pada ketika itu sangat rancak sehingga menjadi pelabuhan antarabangsa dengan kapal dagang dari negara China, India dan Asia Barat. Ini kerana melaka mempunyai keistimewaan dari segi geografi iaitu kedudukannya yang terletak di antara barat dan timur dan juga bentuk muka bumi seperti kawasan berbukit bukau memudahkannya untuk dikenalpasti oleh pelayar, memiliki muara sungai yang sangat dalam memudahkan kapal besar untuk berlabuh serta pokok bakau di sekitar sungai untuk mengelakkan tebing sungai daripada roboh.

Kini, keadaan Melaka Tengah telah pesat membangun dan menjadi antara daerah paling ramai penduduk dengan pelbagai kegiatan ekonomi dijalankan di kawasan ini. Secara amnya, kegiatan ekonomi di kawasan ini lebih terarah kepada kegiatan pelancongan, perindustrian atau perkilangan dan pertanian. Ini kerana daerah ini atau negeri Melaka merupakan antara negeri di mana wujudnya kerajaan terawal di Tanah Melayu menjadikannya kaya dengan sumber sejarah serta artifak zaman dahulu kala contohnya A’famosa. Ini sama sekali telah menarik minat para pelancong untuk hadir dan mempelajari sejarah yang terdapat di kota ini.

Selain itu, sektor perindustrian atau perkilangan turut menjadi sumber ekonomi utama di Melaka dan juga dalam kawasan daerah Melaka Tengah. Oleh itu, terdapat sekurang-kurangnya 10 kawasan perindustrian yang meliputi kilang-kilang daripada negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, Taiwan dan juga Singapura. Antara kawasan perindustrian tersebut adalah Zon Perindustrian Bebas Tanjung Kling. Ini selaras dengan kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mei 2018 menyatakan pertumbuhan prestasi ekonomi di Malaysia pada tahun 2017 menunjukkan peningkatan dari sektor pembuatan ataupun perkilangan.

Dalam pada itu, daerah Melaka Tengah juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan sumber ekonomi dari sektor primer iaitu pertanian. Memiliki kawasan serta jenis tanah yang sesuai atau subur membolehkan daerah ini mendapatkan hasil daripada sektor pertanian seperti pertanian komersial getah, kelapa sawit dan juga sawah padi atau beras.

Kereta dan motosikal merupakan medium pengangkutan terpenting di sini. Oleh itu, kerajaan telah membina jalan raya untuk menghubungkan kawasan bandar dan luar bandar. Jalan persekutuan yang menghubungkan melaka dengan negeri lain adalah sepanjang 8685km manakala jalan negeri yang menghubungkan antara daerah dalam negeri adalah sepanjang 829.806km. Terdapat juga jajaran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang menghubungkan lain-lain negeri dengan Melaka. Kemudahan jajaran perhubungan melalui pengangkutan darat ini memudahkan daerah Melaka Tengah untuk berkembang pesat dan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi.

3. Kegiatan Ekonomi di Kawasan Kajian

Berdasarkan maklumat atau data yang berjaya dikumpulkan, nyatakan kegiatan ekonomi yang dijalankan di kawasan…………….

KEGIATAN EKONOMI DI KAWASAN KAJIAN

Sekolah

Rajah 1.2 Jenis Kegiatan Ekonomi di Melaka Tengah

Melalui kaedah kajian yang telah dilaksanakan, data atau maklumat yang telah berjaya dikumpulkan menunjukkan kegiatan ekonomi yang dijalankan di kawasan Melaka Tengah adalah seperti di Rajah 1.2 iaitu perindustrian, pelancongan, perdagangan, pertanian, dan pendidikan.

Menurut Portal rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, tumpuan utama kegiatan ekonomi bagi daerah Melaka Tengah adalah industri Perindustrian. Ianya meliputi 10 buah kawasan perindustrian seluas 1,309 hektar. Perindustrian di Malaysia merupakan sektor sekunder di mana terbahagi kepada dua jenis iaitu industri berasaskan sumber seperti kayu, getah dan kelapa sawit atau industri bukan berasaskan sumber seperti elektronik dan automotif. Melaka Tengah mempunyai kilang perindustrian yang menjadi pusat pengeluaran barangan tempatan daripada makanan dan barangan konsumer sehingga barangan komponen-komponen senjata dan automotif berteknologi tinggi, elektronik serta komponen-komponen komputer.

Seterusnya, kegiatan ekonomi kedua yang menyumbang kepada ekonomi daerah Melaka Tengah adalah sektor pelancongan.  Melaka sememangnya tempat pelancongan menarik bagi pengunjung dalam dan juga luar negara sehingga berjaya disenaraikan dalam penerbitan antarabangsa seperti Forbes dan Lonely Planet sebagai salah sebuah Destinasi Pelancongan Utama di Asia dan Dunia. Ini kerana nilai sejarah yang terdapat di negeri ini menggalakkan para pelancong untuk berkunjung ke sini. Antara tempat yang menjadi tumpuan pelancong termasuklah Kota A’Famosa, Sungai Melaka, Pantai Klebang dan banyak lagi.

Selain itu, kegiatan ekonomi ketiga yang  menjadi tumpuan pembangunan ekonomi Daerah Melaka Tengah adalah sektor pertanian. Menurut Portal Rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, tanah seluas 17,171 hektar atau 55% daripada keseluruhan tanah di Melaka Tengah digunakan untuk pertanian komersial getah dan kelapa sawit. Manakala 4,269 hektar adalah tanah sawah dan 413 hektar daripadanya adalah tanah terbiar. Daripada ini dapat kita lihat tiga hasil pertanian utama daerah Melaka Tengah adalah daripada tanaman getah, kelapa sawit dan sawah padi.

Akhir sekali, sektor pendidikan juga menjadi antara kegiatan ekonomi yang dijalankan di bahagaian Melaka Tengah. Sektor pendidikan merupakan sektor perkhidmatan yang termasuk dalam sektor tertier bagi jenis kegiatan ekonomi di Malaysia. Selain sekolah rendah dan sekolah menengah, pendidikan peringkat pengajian tinggi menjadi penyumbang utama kepada kegiatan ekonomi sektor ini. Di Melaka Tengah, terdapat Institusi Pengajian Tinggi Awam seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Mara dan lain-lain serta Institut Pengajian Tinggi Swasta seperti Universiti Multimedia dan Melaka Manipal Medical College.

Kesimpulannya, hasil daripada data-data dan maklumat yang diperolehi melalui kaedah-kaedah kajian yang dijalankan, kajian mendapati empat kegiatan ekonomi yang dinyatakan di atas adalah antara aktiviti yang banyak dijalankan di kawasan Melaka Tengah.

4. Melukis Dan Mentafisr Graf Bar Yang Menunjukkan Kegiatan Ekonomi Di Kawasan Kajian

Panduan Melukis Graf Bar 

Sekolah

Sekolah

Panduan Mentafsir Graf Bar 

Berikut adalah langkah-langkah untuk mentafsir graf bar mudah:

  1. Sila perhatikan tajuk
  2. Sila perhatikan maklumat yang telah berjaya diperolehi (data daripada borang soal selidik)
  3. Sila perhatikan paksi menegak dan juga paksi mendatar
  4. Sila kenal pasti dan huraikan nilai minimum dan maksimum data
  5. Sila huraikan aliran perubahan data (graf garisan mudah)
  6. Sila huraikan isi tersirat berdasarkan data yang diperolehi
  7. Sila buat kesimpulan atau rumusan secara keseluruhan

Graf Bar Mudah Kegiatan Ekonomi di Melaka Tengah

Berikut adalah Graf Bar Mudah bagi kegiatan ekonomi yang dijalankan di daerah Melaka Tengah

Sekolah

Tafsiran Graf Bar Mudah Kegiatan Ekonomi di Melaka Tengah

Rajah 1.3 menunjukkan kegiatan ekonomi di Melaka Tengah. Hasil daripada sesi soal selidik yang dijalankan, sebanyak 50 borang soal selidik telah diedarkan dan sebanyak 40 borang telah diterima semula manakala hanya 35 borang yang boleh digunapakai kerana diisi dengan betul.

Berdasarkan graf bar mudah yang dilukis di Rajah 1.3, Kegiatan ekonomi yang banyak dilakukan di kawasan Melaka Tengah didahului oleh sektor perindustrian dengan mendapat jawapan daripada 11 orang responden. Sektor pelancongan menduduki tempat kedua sebanyak 10 responden memilih sektor tersebut diikuti dengan 8 responden memilih sektor pertanian. Akhir sekali, seramai 6 responden memilih sektor pendidikan sebagai kegiatan ekonomi yang dijalankan di daerah Melaka Tengah.

Hasil analisis terhadap data tersebut beserta jawapan di borang soal selidik, didapati ramai responden memilih sektor perindustrian sebagai kegiatan ekonomi di daerah Melaka Tengah kerana terdapat banyak kawasan perindustrian telah dibangunkan di kawasan tersebut sehingga lebih kurang 10 kawasan perindustrian menurut sebuah sumber.

Selain itu, sektor pelancongan menjadi pilihan kedua kegiatan ekonomi di Melaka Tengah berikutan adanya peninggalan sejarah Kesultanan Melayu Melaka zaman dahulu yang menarik minat ramai pelancong hadir. Bentuk muka bumi yang sesuai serta iklim yang baik menjadikan sektor pertanian menjadi kegiatan ekonomi ketiga dijalankan di Melaka Tengah.

Akhir sekali, Melaka Tengah juga menjadi pusat pendidikan tumpuan berikutan kedudukan lokasinya yang strategik yang mudah dicapai dengan jaringan lebuh raya yang menghubungkan antara daerah dan negeri serta infrastruktur yang lengkap seperti kewujudan internet yang pantas.

Kesimpulannya, daerah Melaka Tengah mempunyai beberapa kegiatan ekonomi utama yang diusahakan yang dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti faktor fizikal dan juga faktor manusia. Banyak lagi potensi kegiatan ekonomi yang boleh dijalankan yang akan dibincangkan dalam bahagian seterusnya.

5. Faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di kawasan kajian

Analisis terhadap data yang diperolehi hendaklah dilakukan bagi mendapatkan maklumat atau jawapan kepada objektif menghuraikan faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di kawasan…………..

FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEGIATAN EKONOMI DI KAWASAN KAJIAN

Secara dasarnya, tedapat dua kategori bagi faktor-faktor yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di Malaysia iaitu faktor fizikal ataupun faktor manusia. Faktor fizikal termasuklah bentuk muka bumi, tanih, iklim, bahan mentah dan saliran yang terdapat di kawasan tersebut. Faktor manusia pula adalah seperti dasar kerajaan, infrastruktur, teknologi, pasaran, modal dan juga buruh atau tenaga kerja.

Bagi kawasan Melaka Tengah, antara faktor utama yang mempengaruhi kegiatan ekonomi di sini adalah bentuk muka bumi. Tanah pamah merupakan jenis bentuk muka bumi yang meliputi hampir keseluruhan kawasan Melaka Tengah. Oleh sebab itu, ianya amat bersesuaian sekali untuk menjalankan aktiviti pertanian seperti penanaman padi, getah dan kelapa sawit. Selain itu ia juga boleh digunakan untuk membina kilang atau kawasan perindustrian serta pembinaan jalan raya. Dalam masa yang sama, kedudukan sebahagian kawasan Melaka Tengah juga terletak di bentuk muka bumi pinggir laut. Jenis bentuk muka bumi ini mempunyai daya tarikan untuk menjalankan kegiatan ekonomi khususnya pelancongan. Justeru itu ini mempengaruhi kawasan Melaka Tengah sebagai kawasan sektor pelancongan utama di Malaysia

Selain itu, iklim di Melaka Tengah juga adalah bersesuaian untuk melaksanakan pelbagai jenis kegiatan ekonomi. Iklim Khatulistiwa dengan purata suhu sekitar 27 darjah celcius dan jumlah hujan tahunan melebihi 2600 mm ini membolehkan kawasan Melaka Tengah untuk menjalankan kegiatan ekonomi iaitu pertanian. Iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun ini juga mempengaruhi kemasukan pelancong khususnya dari negara barat yang ingin mendapatkan pancaran matahari yang tidak dapat dimiliki di negara mereka. Pelancongan di Melaka Tengah juga turut dipengaruhi oleh faktor saliran yang baik seperti di Melaka River Cruise iaitu pelancongan air di mana pelancong dapat menelusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot persiaran sambal melihat keindahan di sekitar Bandar Hilir, Melaka.

Dalam pada itu, faktor manusia juga mempengaruhi kegiatan ekonomi di kawasan Melaka Tengah. Antaranya ialah infrastruktur yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Ianya termasuklah kewujudan jaringan pengangkutan yang baik seperti jalan raya yang menghubungkan antara daerah dan juga negeri. Selain itu terdapat juga sistem pengangkutan lain seperti kereta api, kapal terbang mahupun kapal pelabuhan yang memudahkan lagi proses logistik barangan yang dihasilkan di kilang untuk dihantar ke serata tempat bagi tujuan pemasaran. Infrastruktur telekomunikasi negara yang maju turut membantu menyumbang kepada kegiatan ekonomi khususnya sektor pelancongan. Kelajuan dan capaian internet membolehkan kawasan Melaka Tengah untuk diketahui di seluruh dunia dan berjaya diketahui dan diiktiraf sehingga peringkat antarabangsa.

Perkembangan teknologi yang maju dan canggih juga turut mempengaruhi kegiatan ekonomi di Melaka Tengah. Ini dapat dilihat dalam sektor perindustrian di mana mesin-mesin yang digunakan di kebanyakan kilang-kilang pengeluar adalah moden justeru dapat meningkatkan kualiti produk dan jumlah keluaran di samping mempercepatkan kerja dan juga menjimatkan kos. Selain itu, faktor buruh atau tenaga kerja yang ada di Melaka Tengah juga menggalakkan kegiatan ekonomi dalam sektor perindustrian dijalankan di sini. Buruh yang murah dengan tenaga kerja yang mahir dianggap sebagai suatu kelebihan bagi syarikat dari luar negara untuk beroperasi di sini.u

Dasar pendidikan di Malaysia yang menggalakkan atau mengutamakan pendidikan di setiap aspek dan peringkat telah menyebabkan wujudnya beberapa buah universiti dan juga kolej di sekitar kawasan Melaka Tengah. Infrastruktur pengangkutan yang lengkap juga memudahkan lagi para pelajar untuk mendaftarkan diri dan seterusnya menuntut di universiti atau kolej di kawasan ini. Begitu juga kemudahan seperti kolej kediaman yang disediakan beserta internet menarik minat orang ramai untuk belajar di sini.

Natijahnya dapat kita lihat pelbagai faktor yang mempengaruhi berlakunya kegiatan ekonomi di sekitar kawasan Melaka Tengah tidak kira dari aspek fizikalnya mahupun aspek manusia. Semoga faktor-faktor ini dapat menyumbang kepada pembangungan ekonomi di daerah Melaka Tengah.

6. Cadangan Kegiatan Ekonomi yang Berpotensi Dimajukan di Kawasan Kajian

Untuk objektif ini, analisis terhadap data yang diperolehi juga hendaklah dilakukan bagi mendapatkan maklumat atau cadangan daripada para informan dan responden mengenai kegiatan ekonomi yang berpotensi dimajukan di kawasan…………..

CADANGAN KEGIATAN EKONOMI YANG BERPOTENSI UNTUK DIMAJUKAN DI KAWASAN KAJIAN

Berdasarkan analisis terhadap data-data yang diperoleh daripada hasil kajian, kajian telah mengenalpasti beberapa cadangan terhadap kegiatan ekonomi yang berpotensi untuk dimajukan di kawasan Melaka Tengah. Cadangan-cadangan ini telah diperolehi daripada para informan dan responden mahupun pemerhatian sendiri terhadap kawasan ini.

Pertama sekali, antara kegiatan ekonomi yang dilihat berpotensi untuk dimajukan di kawasan Melaka Tengah adalah perikanan. Ini kerana lokasi sebahagian kawasan Melaka Tengah terletak di bentuk muka bumi pinggir laut. Lazimnya bagi kawasan yang terletak berhampiran pinggir laut, penduduk sekitar akan menggunakan kesempatan tersebut untuk menjalankan kegiatan perikanan seperti menangkap ikan, mahupun menjalankan penternakan kerang atau kupang dalam sangkar seperti yang dijalankan di Pantai Lido, Johor. Hal ini bukan sahaja dapat memberi sumbangan kepada ekonomi malah meningkatkan peluang pekerjaan penduduk sekitar.

Selain itu, kedudukan Melaka Tengah yang terletak di pinggir laut juga membolehkan kawasan tersebut dibangunkan sebagai pusat pelabuhan antarabangsa seperti kebanyakan kawasan di pinggir laut di Malaysia iaitu Pelabuhan Klang, Selangor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor. Dengan adanya pelabuhan antarabangsa, kemasukan barang import dan eksport akan menggalakkan lagi kemasukan pelaburan asing di kawasan berkenaan sekaligus meningkatkan ekonomi di kawasan berikut. Dalam masa yang sama, peningkatan infrastruktur juga bakal dilihat dengan hadirnya syarikat-syarikat antarabangsa untuk melabur di kawasan berikut.

Akhir sekali, jenis kegiatan ekonomi yang berpotensi untuk dimajukan di kawasan Melaka Tengah adalah penternakan. Oleh kerana bentuk muka bumi di Melaka Tengah yang sesuai dan juga masih mempunyai kawasan hijau atau tanaman tumbuhan semulajadi, maka aktiviti penternakan seperti lembu, kambing, ayam dan sebagainya boleh dijalankan. Berbeza dengan kawasan yang telah dipenuhi dengan proses pembandaran seperti di Lembah Klang, kawasan adalah terhad sekiranya ingin melaksanakan kegiatan ekonomi ini. Sekiranya aktiviti ini dijalankan, akan berlakunya pengurangan import bagi jenis ternakan yang dilakukan justeru menguntungkan penduduk sekitar.

Kesimpulannya, terdapat banyak kegiatan ekonomi yang berpotensi untuk dijalankan atau dimajukan di kawasan Melaka Tengah. Kerajaan dan penduduk sekitar perlulah melihat perkara ini dan membuat tindakan selanjutnya bagi memastikan kelebihan dan keuntungan berjaya diperolehi daripada sumber yang ada.

Rumusan

Rumusan terhadap kajian hendaklah dilakukan bagi menyatakan kesimpulan daripada hasil kajian yang dijalankan seterusnya dapat dijadikan sebagai rujukan penduduk sekitar

RUMUSAN

Hasil daripada data-data serta maklumat yang telah berjaya diperolehi melalui kaedah-kaedah kajian yang telah dijalankan, setiap objektif kajian yang digariskan pada awal kajian telah pun dijawab dan dicapai. Selain itu analisis terhadap maklumat yang diperolehi juga telah dilakukan bagi mendapatkan kesimpulan daripada dapatan kajian ini.

Antaranya yang pertama adalah kegiatan ekonomi yang dijalankan di kawasan Melaka Tengah. Hasil kajian mendapati terdapat empat jenis kegiatan ekonomi utama yang dijalankan oleh penduduk di kawasan Melaka Tengah. Kegiatan ekonomi tersebut adalah perindustrian atau perkilangan, pelancongan, pertanian dan juga pendidikan. Walaupun terdapat juga kegiatan ekonomi yang lain dijalankan oleh penduduk sekitar, empat kegiatan ini adalah yang paling ketara.

Kegiatan-kegiatan ekonomi tersebut telah dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuklah faktor fizikal dan juga faktor manusia. Faktor fizikal tersebut adalah bentuk muka bumi yang sesuai untuk menjalankan aktiviti seperti tanah pamah untuk pembinaan jalan raya dan kawasan perindustrian serta pertanian tumbuh-tumbuhan. Selain itu iklim dan suhu yang sesuai juga menggalakkan kemasukan pelancong bagi aktiviti pelancongan. Infrastruktur yang maju serta tekonologi yang canggih dan moden juga meningkatkan kegiatan ekonomi di kawasan Melaka Tengah.

Walaupun kawasan Melaka Tengah telah pun menjadi antara daerah termaju yang ada di Melaka, masih terdapat kegiatan ekonomi yang boleh dimajukan untuk kepentingan masyarakat setempat dan juga negara. Antaranya termasuklah aktiviti perikanan dan juga penternakan. Ini penting bagi memastikan sumber semula jadi yang ada di sesebuah tempat digunakan pada tahap maksima dan seterusnya memberi pulangan atau keuntungan kepada penduduk tempatan mahupun negara.

Kesimpulannya, melalui kajian yang dijalankan ini, dapatlah dilihat banyak kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh penduduk di Malaysia khususnya di kawasan saya sendiri iaitu Melaka Tengah. Didapati kerajaan juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan ekonomi sesebuah tempat itu berkembang dan membangun. Saya berharap agar kajian yang dijalankan ini dapat memberikan sumbangan kepada penduduk setempat mahupun kepada negara.

Panduan dan tips diatas hanyalah contoh jawapan yang diberikan oleh penulis bagi membantu pelajar-pelajar PT3 dalam tugasan Geografi ini. Calon adalah digalakkan untuk membuat karya jawapan yang asli yang bersesuaian dengan kawasan kajian bagi mendapatkan jawapan yang tepat dan berkualiti

Jika anda rasa panduan ini berguna, sila kongsikan panduan ini kepada rakan-rakan anda bagi membantu mereka menyiapkan tugasan ini dan juga sebagai tanda terima kasih kepada penulis yang menyiapkan tugasan ini

 

Ikuti Kami:

 
 

Artikel Berkaitan