Cara Solat Hajat Mudah Dan Ringkas Beserta Doa

solat sunat hajat

Mendirikan solat fardhu lima waktu merupakan rukun Islam yang kedua. Ini menunjukkan betapa pentingnya kedudukan ibadah solat ini. Manusia semestinya sentiasa mempunyai hajat atau keinginan. Tidak kira hajat kepada perkara dunia mahupun di akhirat. Maka bagi umat islam adalah digalakkan untuk berdoa apabila menginginkan sesuatu daripada Allah. Selain itu, kita juga boleh melakukan Solat Hajat

Sudah menjadi kelaziman rakyat Malaysia apabila ingin menghadapi sesuatu yang besar seperti peperiksaan ataupun apabila berlaku malapetaka dan bencana, Solat Sunat Hajat akan dilaksanakan. Program Solat Hajat Perdana selalunya dibuat di Surau atau Masjid secara berjemaah kerana ingin memohon hajat yang baik

Selain dilakukan secara berjemaah, sembahyang hajat juga boleh dilakukan secara bersendirian dan boleh diamalkan ketika ibadah qiamulail bersama solat sunat yang lain. Namun begitu solat sunat ini tidak terikat pada waktu tertentu untuk diamalkan seperti solat tahajjud ataupun solat tarawih

Apa itu Solat Hajat?

Solat Hajat adalah salah satu jenis solat sunat yang didirikan apabila kita ingin memohon sesuatu hajat daripada Allah. Hajat tersebut tidak kira sama ada ingin memohon kebaikan ataupun menolak sebarang keburukan.

Panduan Lengkap Cara Solat Hajat Serta Bacaan Doa

Berikut dikongsikan panduan cara solat sunat hajat yang mudah serta doa solat hajat dan bacaan yang boleh dibaca sebagai bimbingan untuk orang ramai

Waktu Solat

Boleh dilaksanakan pada bila-bila masa tidak kira siang mahupun waktu malam. Lebih utama dilakukan apabila ada hajat tertentu seperti ingin memohon perkara yang baik berlaku ataupun mengelak kejadian buruk terjadi. Afdal juga dilaksanakan pada waktu sepertiga malam sewaktu qiamulail

Bilangan Rakaat

Solat sunat Hajat dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat (dua rakaat) dengan satu salam atau sehingga 12 rakaat (dengan 6 kali salam) mengikut kemampuan masing-masing

Lafaz Niat Solat Hajat

niat solat hajat
Usolli Sunnatal Hajaati Rak’ataini Lillahi Ta’ala

Maksudnya: Sahaja aku Solat Sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta’ala

Tatacara Menunaikan Solat Sunat Hajat

Rakaat Pertama

  1. Mulakan dengan mengangkat takbiratul ihram dengan menyebut lafaz Allahu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati
  2. Membaca doa iftitah
  3. Baca surah Al-Fatihah
  4.  Membaca surah Al-Kafirun atau Ayat Kursi (satu kali atau 11 kali)
    surah al-kafirun
    surah Ayatul Kursi
  5. Rukuk dan Iktidal
  6. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua

Rakaat Kedua

  1. Dimulakan dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)
  2. Membaca surah Al-Fatihah
  3. Dianjurkan membaca surah Al-Ikhlas (sekali) Atau sebanyak 11 kali
    surah al-ikhlas
  4. Rukuk dan Iktidal
  5. Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua
    Nota: Bacaan dalam sujud terakhir sebanyak 40 kali

    • لاَّ إِلَـهَ إِلاَّ أَنتَ سُبْحَـنَكَ إِنِّى كُنتُ مِنَ الظَّـلِمِينَ
    • Laa ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzo limin
      Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah! Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada golongan orang-orang yang zalim
  6. Mohon Hajat Setelah Selesai Bacaan Tasbih
    Sekiranya tidak membaca tasbih tersebut ataupun setelah selesai membacanya, mohonlah sebarang hajat dalam hati sewaktu masih dalam keadaan sujut tersebut
  7. Duduk Tahiyyat Akhir
  8. Memberi salam

Doa Solat Hajat

Selepas memberi salam, baca doa seperti berikut:

doa solat hajat

Allahumma inna nas aluka maujibati rahmatika wa ‘azaa ‘ima magfiratika wal ghonimata min kulli birrin wassalamat min kulli ismin wal fauza bil jannati wannajati minannar.

Allahumma innaka tasma’u kalami, watara makani wataq lamu sirri wa’ala niyati walaa yahfa alaika syai-unn min amri wa analba’isulfakir wal mustaghi sul mustajir wal wajilul mushfiqul muqirrul ma’tarifu ilaika bizanbihi as aluka mas alatal miskin wa abtahilu ilaika ibtihal

Ilmuznibil zalili wa ad auka dua alkhoifil dhorir dua ‘aman khodhoatt laka raqabatuhu wazalla laka jismuhu wara ghima laka anfuhu

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu hal-hal yang dapat menentukan rahmatMu dan menguatkan pengampunanMu, memperoleh segala kebaikan, menyelamatkan daripada kejahatan, memperolehi syurga dan selamat daripada api neraka.

Ya Allah, sesungguhnya Engkau mendengar ucapanku, melihat tempat tinggalku, mengetahui lahir batinku, dan tidak ada satu urusan pun daripada urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuanMu.

Aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang memohon bantuan, hamba yang penakut, yang meminta dikasihani, yang mengakui dan menyatakan semua dosa-dosanya kepadaMu.

Ya Allah, aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin dan aku berdoa kepadaMu seperti doanya doa orang berdosa yang amat hina.
Aku mohon kepadaMu seperti orang penakut lagi buta, juga seperti berdoanya orang yang merendahkan jiwanya, merendahkan raga, wajah, serta hidungnya kepadaMu.

Bacaan Wirid

Selepas selesai solat boleh juga membaca wirid berikut:

i. Istighfar 

 

Astaghfirullah, Rabbi min kulli zanbi waatuubu ilaih

Maksudnya: Daku memohon ampun kepada Allah, Tuhanku, daripada segala dosa dan daku bertaubat kepada-Nya.

ii. Zikir 

 

Laailaha illallah, Muhammadda rasulullah

Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad utusan Allah.

iii. Selawat

Allaahumma shalli ‘alaa Sayyidinaa Muhammadin wa ‘alaa aalihii Sayyidinaa Muhammadin.”

Ya Allah! Sejahterakanlah ke atas penghulu kami Nabi Muhamad SAW dan ke atas ahli keluarga penghulu kami Muhamad SAW

Video Cara Solat Sunat Hajat

Video Bacaan Doa Selepas Solat Hajat

Dalil Kelebihan Mengerjakan Solat Hajat 

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempunyai hajat kepada Allah SWT atau kepada seorang manusia, maka hendaklah ia berwuduk dengan sebaik-baiknya kemudian dia bersolat dua raka’at.”

[Riwayat Tirmizi]

Imam Ahmad juga ada meriwayatkan dengan sanad shahih dari Abu Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berwudhuk dan menyempurnakannya, kemudian solat dua raka’at dengan sempurna, nescaya Allah memberikan apa saja yang dimintanya, sama ada cepat ataupun lambat.”

Kelebihan

Antara kelebihan solat hajat yang lain atau fadhilat mengerjakan solat ini termasuklah:

  1. Permohonan dimakbulkan oleh Allah SWT
  2. Berasa yakin dengan apa yang akan berlaku
  3. Menjadi lebih bersifat ikhlas menerima ketentuan Allah
  4. Berasa tenang setelah bebanan dan luahan disampaikan kepada Allah SWT

Bolehkah Solat Hajat Ditunaikan Selepas Solat Subuh?

Menurut laman web Ustaz Syihabudin Ahmad, solat sunat hajat tidak boleh dilakukan selepas solat Subuh. Ini kerana ianya termasuk di dalam solat sunat mutlak

Solat sunat terbahagi kepada dua jenis iaitu Solat Sunat Mutlak dan Solat Sunat Atas Sebab (Dzatul Asbab). Solat sunat mutlak seperti solat hajat, taubat dan iktikharah diharamkan ditunaikan selepas azan subuh sehingga masuk waktu syuruq. Ini kerana ianya termasuk waktu-waktu haram bagi solat sunat mutlak kecuali apabila berada di Masjidil haram

Sama-samalah ambil peluang melaksanakan ibadah sunat ini dan memperbanyakkan amalan kita. Semoga segala hajat dan permintaan dikabulkan oleh Allah SWT

 

Ikuti Kami:

 
 

Artikel Berkaitan