Contoh Jawapan Kerja Kursus Tugasan PT3 Geografi 2018 Kajian Guna Tanah

Sekolah

Sekolah
Ujian instrumen pelbagai mata pelajaran Geografi untuk calon pelajar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun 2018 iaitu kajian kes akan bermula dari tarikh 8 hingga 27 Julai 2018 menurut jadual waktu peperiksaan yang telah diumumkan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia

Kajian guna tanah di kawasan tempat tinggal atau sekolah calon telah dipilih sebagai tajuk tugasan tahun ini dan tugas pelajar agak mencabar berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan ia memerlukan kreativiti, kemahiran dan teknikal daripada calon terutamanya dalam menghasilkan sebuah peta lakar yang menunjukkan taburan guna tanah di kawasan kajian

Pelajar adalah dinasihatkan untuk mengikut arahan dan panduan yang diberikan oleh guru mata pelajaran di sekolah masing-masing agar dapat melaksanakan tugasan dengan jayanya dalam mendapatkan pemarkahan yang cemerlang

Calon diingatkan memastikan ketulenan hasil tugasan dan tidak memplagiat dengan mengambil atau meniru tugasan (hasil kerja) sepenuhnya daripada mana-mana pihak, dalam erti kata lain penghasilan tugasan kajian yang lengkap adalah usaha calon sendiri

Tips Panduan Jawapan/ Contoh Kerja Kursus/ Tugasan PT3 Geografi 2018 Kajian Guna Tanah

MYsumber akan membantu calon-calon PT3 2018 dengan memberikan tips-tips dan panduan sebagai cetusan idea serta maklumat tambahan dalam melaksanakan tugasan merangkumi aspek-aspek (perkara) utama kajian seperti di bawah

Soalan Tugasan PT3 Geografi 2018
Calon dikehendaki menjalankan kajian tentang guna tanah di kawasan tempat tinggal atau sekolah anda. Guna tanah merujuk kepada semua aktiviti manusia yang mengubah dan menyesuaikan permukaan tanah untuk memenuhi keperluan manusia
Kajian guna tanah tersebut haruslah merangkumi perkara berikut
1. Latar belakang kawasan kajian
2. Melukis dan mentafsir peta lakar di kawasan kajian
3. Mengenalpasti satu jenis guna tanah utama di kawasan kajian dan menghuraikan faktor yang mempengaruhi guna tanah tersebut
4. Mengenal pasti dan menghuraikan kesan guna tanah tersebut terhadap alam sekitar yang telah dikaji di no 3
5. Cadangan usaha-usaha untuk mengatasi kesan guna tanah tersebut
6. Membentangkan laporan hasil kajian tersebut

PERMULAAN / PERINGKAT AWAL

Perancangan
Calon perlu menyediakan perancangan yang sangat lengkap, tepat dan realistik serta mempamerkan kesungguhan dalam melaksanakan tugasan. Perancangan terdiri daripada
i. Jadual Kerja
ii. Objektif kajian
iii. Penentuan Kaedah Kajian
Proses Awal
Bagi proses awal, calon perlu mengumpul maklumat yang tepat dengan sebaik mungkin mengikut tugasan kajian yang telah ditentukan. Maklumat itu dari sumber rujukan primer, sekunder ataupun pihak ketiga (pihak ketiga – contoh individu yang ditemubual)
Proses awal berkaitan tugasan kajian peta terdiri daripada
a) Potensi
b) Halangan
c) Cadangan
d) Draf Peta Lakar
e) Temubual, Pemerhatian, rujukan
Proses Akhir
Melaksanakan setiap perkara tugasan kajian peta guna tanah seperti yang dinyatakan (rujuk kepada soalan / tugasan diatas)
Pemilihan / Penentuan Kawasan Kajian
Berdasarkan kehendak tugasan, kawasan kajian adalah di tempat tinggal ataupun sekolah. Bagi memudahkan calon melaksanakan tugasan, sila pilih kawasan yang diketahui oleh calon kerana ia dapat membantu calon terutamanya dalam melukis dan mentafsir peta lakar guna tanah sebab ciri-ciri geografi yang ada di kawasan tersebut calon sudah tahu
Menentukan Tajuk Kajian
Penentuan tajuk kajian yang menepati kehendak tugasan selaras dengan aspek / isi kandungan / maklumat kajian peta. Perkara utama perlu ada dalam tajuk kajian adalah nama kawasan tersebut. Untuk lebih kreatif lagi adalah mengabungkan nama kawasan kajian dengan maklumat keseluruhan hasil dapatan tentang aspek / perkara tugasan yang diberikan seperti di atas
Sila dapatkan maklumat lanjut dengan guru tentang tajuk kajian sebagaimana yang boleh diterima

Tajuk Kajian Dan Butiran Calon
(Sebagai contoh sahaja)

KAJIAN GUNA TANAH DI KAWASAN TEMPAT TINGGAL/ SEKOLAH

Kajian Oleh : _______________

Tingkatan : _______________

No. Kad Pengenalan :____________

Angka Giliran :_______________

Senarai Kandungan
Senarai kandungan perlu dibuat untuk memudahkan semakan terhadap setiap perkara berkaitan tugasan kajian. Contoh seperti berikut
BilIsi KandunganMuka Surat
1.Penghargaan 1. 1.
2.Pendahuluan / Pengenalan2.
3.Objektif Kajian3.
4.Kawasan Kajian4.
5.Kaedah Kajian

i. Kaedah Pemerhatian
ii. Kaedah Temubual
iii. Kaedah Rujukan

5.
6.Dapatan Kajian (hasil keseluruhan kajian)6.
7.Rumusan7.
8.Lampiran8.
9.Rujukan9.
Penghargaan
Secara dasarnya, sesebuah tugasan yang telah siap sepenuhnya perlu ada penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada individu, pihak yang terlibat dalam membantu memberikan input yang diperlukan terhadap tugasan yang dijalankan. Contoh penulisan penghargaan adalah seperti berikut

Saya, Siti Munirah Binti Ahmad Ismail, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengetua, Tuan Haji Othman Bin Abdul yang telah memberi kebenaran kepada saya untuk menjalankan kajian ini. Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada guru Geografi saya, Encik Rahmat Bin Andul Rahman, yang telah memberikan bimbingan dan tunjuk ajar sehingga kajian ini dapat diselesaikan dengan jayanya.

Saya amat terhutang budi kepada kedua-dua ibu bapa saya yang telah memberikan peruntukkan perbelanjaan serta dorongan dan semangat sepanjang kajian ini dibuat.

Ucapan terima kasih juga saya tujukan kepada responden yang telah memberikan kerjasama juga rakan sekelas saya iaitu Safura, Faizah dan Abdul Karim yang telah bersama-sama menjalankan kajian ini.

Tanpa sokongan semua pihak yang terlibat memungkinkan saya menyiapkan kajian seperti ini kerana kerja-kerja untuk menyiapkan tugasan ini memerlukan motivasi, usaha, buah fikiran dan wang ringgit.

Pendahuluan / Pengenalan
Pendahuluan ataupun pengenalan adalah menyatakan terlebih dahulu tentang kawasan kajian, merangkumi tajuk, sebab-sebab pemilihan kawasan kajian dan latar belakang ciri fizikal dan budaya yang ada di kawasan kajian secara ringkas yang merangkumi aspek seperti pembagunan likasi kajian, sosio-ekonomi, guna tanah dan lain-lain. Contoh penulisan adalah seperti berikut

Kerja kursus ini telah diarahkan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk dijalankan oleh semua pelajar tingkatan 3 yang akan menduduki PT3. Untuk subjek Geografi ini, tajuk kajian saya adalah(tajuk kajian) dan saya (nama) pelajar tingkatan3 dari sekolah (nama sekolah) telah melakukan kajian di kawasan (kawasan kajian).

Antara sebab utama saya memilih kawasan (kawasan kajian) sebagai kawasan kajian kerana ia merupakan tempat tinggal saya dan berdekatan dengan sekolah. Ini akan memudahkan urusan saya untuk membuat kajian kerana berhampiran dengan rumah saya. Selain itu, saya juga mahir dengan kawasan  ini dan  memudahkan saya mendapat data-data yang berguna untuk direkodkan dalam kerja kursus saya.

Tempoh masa yang diberikan kepada saya telah saya gunakan dengan sebaiknya dari hari pertama sehingga hari kerja kursus ini disiapkan. Sepanjang saya melakukan kajian guna tanah di kawasan (kawasan kajian) , saya telah menemu ramah beberapa responden bertujuan untuk mendapatkan data-data yang tepat. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua responden memberi kerjasama yang baik dan saya berjaya menyiapkan kerja kursus ini dalam tempoh yang diberi.

Objektif Kajian
Objektif kajian adalah sesuatu input yang mahu diperolehi mengikut tugasan kajian yang diberikan. Objektif kajian juga merupakan perkara yang penting dalam suatu bentuk kajian. Contoh huraian objektif kajian adalah seperti berikut

Objektif utama kajian ini dibuat adalah untuk memenuhi kehendak tugasan kajian peta melalui aspek dan perkara-perkara seperti berikut:

a) Mendapatkan maklumat terperinci dan fakta sebenar tentang latar belakang ciri fizikal dan budaya yang ada di kawasan kajian

b) Membuat / melukis sebuah peta lakar berasaskan peta topografi dengan lengkap serta mentafsir peta lakar di kawasan kajian

c) Mendapatkan maklumat berdasarkan lorekkan kawasan taburan guna tanah seterusnya menghuraikan satu jenis guna tanah utama di kawasan kajian

d) Menghuraikan kesan guna tanah yang dipilih terhadap alam sekitar di kawasan kawasan berlorek dalam kajian peta

e) Mencadangkan usaha-usaha dan langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasi kesan guna tanah di kawasan berlorek dalam kajian peta

Kaedah Kajian
Kaedah Kajian merupakan satu usaha yang dilakukan samada secara individu atau berkumpulan bagi menyelesaikan sesuatu tugasan yang ingin di kaji
Jumlah Kaedah Kajian yang perlu disertakan adalah bergantung kepada apakah kaedah kajian yang telah digunakan / dijalankan bagi menyiapkan sepenuhnya tugasan / kajian calon. Contoh seperti berikut

Terdapat empat (4) kaedah kajian telah dijalankan dan membantu saya bagi memastikan tugasan kajian peta di kawasan kajian iaitu……….dapat disiapkan dengan sempurna dan bersistematik berdasarkan fakta mahupun maklumat yang tepat

1) Kaedah Pemerhatian Dan Tinjauan

Saya telah membuat pemerhatian dan tinjauan di kawasan.bagi mengenalpasti guna tanah ………….. yang terdapat di kawasan kajian. Maklumat yang diperoleh itu membantu saya untuk melukis dan mentafsir peta lakar guna tanah

2) Kaedah Temubual Dan Borang Soal Selidik

Melalui kaedah temubual bersertakan borang soal selidik yang diedarkan kepada penduduk setempat, saya dapat mengumpul maklumat berhubung dengan beberapa perkara seperti berikut:

i. Mengenalpasti satu jenis guna tanah utama di kawasan kajian dan menghuraikan faktor yang mempengaruhi guna tanah tersebut
ii. Mengenal pasti dan menghuraikan kesan guna tanah tersebut terhadap alam sekitar yang telah dikaji
iii. Memberikan cadangan dan saranan tentang usaha-usaha juga tindakan yang perlu dilakukan bagi mengatasi kesan guna tanah di kawasan kajian

Saya juga mengumpul maklumat tentang kawasan dengan Pegawai Perancang Bandar, Majlis Daerah………….

3) Internet

Selaras dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini. Internet adalah satu gerbang limpahan pelbagai sumber bagi mendapatkan maklumat. Melalui laman sesawang berautoriti yang telah dilayari iaitu Portal Rasmi……………….., saya turut dapat memuat-turun bahan berkaitan kajian / tugasan ini untuk dijadikan rujukan tambahan.

4) Bimbingan Guru

Tanpa bimbingan guru, sudah tentu saya tidak akan berjaya melaksanakan tugasan kajian yang telah diberikan. Oleh itu, saya mendapat bimbingan dari guru iaitu Tuan / Puan……………………….

DAPATAN KAJIAN

1. Latar Belakang Kawasan Kajian
Definisi latar belakang adalah dasar atau asas kepada sesuatu perkara. Latar belakang yang baik harus disusun dengan sejelas mungkin dan bila perlu disertai dengan data atau fakta yang mendukung
Ciri Fizikal
Ciri semulajadi dan bukan buatan manusia seperti bentuk muka bumi, saliran dan tumbuhan semulajadi
Ciri Budaya
Ciri yang terhasil daripada aktiviti manusia atau buatan manusia seperti pertanian, perlombongan, perindustrian, petempatan, pengangkutan dan perhubungan
Contoh penulisan seperti berikut

KAWASAN KAJIAN

Kawasan kajian saya untuk kerja kursus ini adalah  Seremban, Negeri Sembilan. Terkenal sebagai pusat pentadbiran Negeri Sembilan,  Seremban merupakan daerah keempat terbesar dengan berkeluasan 95,360.71 hektar. Bukan itu sahaja, daerah Seremban mempunyai 8 buah mukim dan salah satu daripadannya ialah mukim Seremban. Kedudukannya terletak di Lembah Sungai Linggi dan kaki Bukit Banjaran Titiwangsa yang sesuai bagi pelbagai kegiatan ekonomi. Sungai Linggi memainkan peranan penting kepada Seremban sebagai sumber air kepada penduduk masa kini bagi aktiviti pertanian dan kehidupan harian setelah tidak lagi digunakan bagi aktiviti-aktiviti perlombongan pada waktu dahulu.

Dengan keadaan Seremban yang sedang membangun, terdapat pelabagai guna tanah di kawasan ini. Secara amnya, guna tanah di kawasan ini lebih terarah kepada kegiatan perindustrian, perumahan, pertanian dan pentadbiran. Keadaan muka bumi di mukim Seremban secara amnya adalah berbukit-bukit dan tanahnya pula merupakan tanah lerit merah yang sesuai untuk dijadikan tapak penanaman kelapa sawit dan getah. 

Selain itu, Seremban juga merupakan kawasan tumpuan penduduk setempat dan penduduk yang bekerja di negeri yang berdekatan seperti Kuala Lumpur dan Selangor . Oleh itu, terdapat banyak projek perumahan yang telah dan sedang dibina bagi menampung peningkatan permintaan. Antara syarikat-syarikat pemaju yang bertanggungjawab memajukan tanah perumahan ini adalah IJM Land dan Sime Darby Properties. Berdasarkan kajian yang dibuat, rata-rata jenis rumah yang terdapat di Seremban ialah rumah teres satu tingkat dan dua tingkat. 

Seremban juga merupakan kawasan tumpuan sektor perindustrian. Mengikut sumber daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, kebanyakan penduduk di Seremban bekerja di sektor pembuatan di mana ia menyumbang peratusan paling tinggi pekerjaan penduduk dan kedua tertinggi adalah sektor perdagangan borong dan runcit. Ini menjadikan sektor pembuatan merupakan pekerjaan utama penduduk Seremban. Terdapat juga aktiviti peedagangan dan peruncitan di sekitar kawasan Seremban di mana ia merupakan sumber pendapatan kedua tertinggi penduduk. Pembinaan banyak pasar raya seperti AEON Seremban, Terminal 1, Terminal 2 dan banyak lagi merancakkan lagi aktiviti ini.

Kereta dan motosikal merupakan pengangkutan terpenting di sini. Oleh itu, kerajaan telah membina jalan raya untuk menghubungkan bandar dan luar bandar. Laluan Persekutuan 1 merupakan jalan raya tertua di Malaysia yang menghubungkan bandar utama di Malaysia melalui Seremban. Ia juga menghubungkan Seremban dengan bandar-bandar berdekatan seperti Rembau dan Tampin di selatan dan Kajang, Selangor di utara. Seremban juga menjadi penghubung ke Kuala Klawang dan Kuala Pilah ke timur dan bandar pelancongan Port Dickson di barat. Terdapat juga jajaran Lebuh Raya Utara Selatan yang menghubungkan lain-lain negeri dengan Seremban. Selain itu, terdapat juga kemudahan komuter dan kereta api bagi menghubungkan Seremban dan Kuala L,umpur. 

Bagi infrastruktur pendidikan pula, terdapat banyak sekolah yang telah dibina berdekatan kawasan perumahan dan pentadbiran. Antara sekolah yang terkenal ialah Sekolah King George V dan Sekolah Menengah Sains Tunku Munawir. Sekolah rendah di kawasan ini merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah kebangsaan (Asli), sekolah kebangsaan (Cina), Sekolah Kebangsaan (Tamil) dan sekolah kebangsaan (Khas). Bagi sekolah menengah pula terdapat sekolah menengah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah menengah agama, sekolah berasrama penuh, sekolah vokasional dan sekolah menengah teknik. Kepelbagaian sekolah ini adalah bersesuain dengan demografik di kawasan ini.

Kesan dan faktor mempengaruhi guna tanah di kawasan ini akan dihuraikan di bawah.

2. Melukis Dan Mentafisr Peta Lakar Yang Menunjukkan Taburan Guna Tanah Di Kawasan Kajian
sila klikPanduan Melukis Peta Lakar
sila klikPanduan Mentafsir Peta Lakar
3. Kenalpasti Satu Jenis Guna Tanah Utama Di Kawasan Kajian Dan Huraikan Faktor Mempengaruhi Guna Tanah Tersebut
Contoh guna tanah : Kediaman, Pertanian, Perlombongan, Perikanan, Pelancongan, Pengangkutan, Perindustrian dll. Pilih satu

FAKTOR GUNA TANAH PETEMPATAN

Antara jenis guna tanah di Seremban ialah petempatan. Jenis perumahan yang sering dibina di sini adalah perumahan bukan strata. Perumahan bukan strata ialah perumahan yang dibina atas tanah (landed house). Rumah jenis ini termasuklah rumah banglo, rumah teres, rumah berkembar dan rumah berkelompok. Ini  adalah kerana kawasan Seremban mempunyai banyak tanah yang sesuai bagi tujuan perumahan yang masih belum dimajukan berbanding bandar-bandar maju yang lain. Selain itu, terdapat juga beberapa perkampungan tidak terancang. 

Antara faktor yang mempengaruhi guna tanah untuk tujuan petempatan adalah bentuk muka dan lokasi. Faktor ini mempngaruhi kemudahan seperti pengangkutan awam, jalan raya dan lebuh raya yang menghubungkan antara bandar dan luar bandar. Kedudukan Seremban uang berdekatan dengan Selangor dan Kuala Lumpur menjadikan Seremban sebagai alternatif kediaman yang lebih murah bagi mereka yang bekerja di Selangor dan Kuala Lumpur. Selain itu, terdapat pengangkutan awam yang boleh didapati di kawasan Seremban seperti kereta api dan komuter. Jajaran rel kereta api ini menghubungkan Seremban-Selangor-Kuala Lumpur. Ia juga menghubungkan Seremban-Sungai Gadut yang menghubungkan bandar Seremban dan bandar lain di Negeri Sembilan. 

Antara faktor lain juga adalah kegiatan ekonomi dan dasar kerajaan di kawasan Seremban. Lokasinya sebagai pusat pentadbiran Negeri Sembilan menjadikan kawasan ini menjadi tumpuan buat penjawat-penjawat awam. Oleh yang demikian, sektor swasta juga berkembang seiring kepesatan kawasan pentadbiran ini bagi memenuhi keperluan penduduk setempat. Beberapa tahun belakangan ini banyak pusat membeli belah dibina dan ini telah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk. Di samping itu, kawasan perindustrian berhampiran juga mempengaruhi guna tanah Seremban sebagai kediaman. Pekerja-pekerja sektor ini memerlukan kediaman yang berdekatan dengan kawasan pekerjaan mereka bagi memudahkan kehidupan harian. Oleh itu, guna tanah bagi kediaman berhampiran kawasan perindustrian ini meningkat bagi menampung permintaan.

FAKTOR GUNA TANAH PERINDUSTRIAN

Dalam kawasan Seremban ini, terdapat juga tanah yang digunakan untuk tujuan perindustrian. Kawasan seperti Green Technology Park dan  Kawasan Industri Oakland di Seremban dua merupakan tanah yang digunakan sebagai kawasan perindustrian.

Antara faktor guna tanah perindustrian di sini adalah jaringan pengangkutan yang berkualiti dan lokasinya yang strategik. Kemudahan kereta api dan jaringan lebuh raya seperti Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuh Raya Kajang Seremban memudahkan penghantaran produk-produk industri dengan lebih cepat dan mudah. Di samping itu, kedudukannya yang berhampiran negeri-negeri maju yang menjadi tumpuan penduduk menjadikannya sebagai alternatif yang lebih murah bagi kilang-kilang yang ingin menjalankan operasi berbanding di tanah yang menjadi tumpuan penduduk. Bukan itu sahaja, kedudukan Seremban yang dikelilingi oleh kawasan-kawasan yang mempunyai sumber semula jadi hasil pembalakan dan pertanian memudahkan pekilang-pekilang untuk  mendapatkan sumber-sumber asli bagi pemprosesan produk mereka. 

4. Huraikan Kesan Guna Tanah Yang Dikaji Terhadap Alam Sekitar
Contoh : Kesan guna tanah petempatan ke atas alam sekitar. Huraikan

KESAN GUNA TANAH PETEMPATAN

Antara kesan guna tanah untuk penempatan terhadap alam sekitar adalah peningkatan suhu di sekitar Seremban. Semakin ramai manusia membuat penempatan di sesuatu kawasan meningkatkan lagi bilangan kenderaan. Kenderaan seperti kerata, motor dan lori melepasakan gas karbon monoksida dan ia menyebabkan daya serap haba lebih tinggi. Fenomena ini dikenali sebagai pulau haba. Pembinaan bangunan secara rapat meningkatkan lagi suhu sekitar Seremban kerana haba terperangkap dalam kawasan penempatan tersebut.

Selain itu, kesan lain hasil guna tanah petempatan yang sering berlaku adalah banjir kilat. Hal ini sering berlaku jika hujan lebat berterusan tanpa henti pada waktu yang singkat. Peningkatan penduduk di kawasan perumahan akan meningkatkan sisa pepejal dan jika ia tidak  tidak dilupuskan dengan efisyen akan menyebabkan masalah perparitan yang serius. Sikap penduduk setempat yang suka membuang sampah ke dalam saluran longkang dan parit memburukkan lagi keadaan ini. 

Aktiviti penggondolan hutan dan bukit-bukau bagi tujuan petempatan juga memberikan kesan terhadap alam sekitar. Dahulunya kawasan Seremban masih lagi terdapat kehijauan pokok-pokok, hutan yang nyaman namun kini sedikit demi sedikit ianya ditarah dan diratakan bagi memberi ruang kepada kawasan perumahan baru. Ini secara tidak langsung merubah landskap Seremban yang dahulunya hijau kini dipenuhi dengan hutan besi. Apabila hutan-hutan ditebang untuk tujuan pembinaan maka yang mendapat impak besar adalah habitat haiwan terancam mengakibatkan kepupusan spesis yang terancam yang tinggal di kawasan hutan. 

KESAN GUNA TANAH PERINDUSTRIAN

Antara kesan guna tanah bagi tujuan perindustrian ialah pencemaran-pencemaran alam sekitar seperti pencemaran bunyi, bau, udara dan air. Pencemaran bunyi dan udara dihasilkan daripada kenderaan yang keluar masuk sekitar kawasan kilang dan kilang-kilang yang beroperasi. Asap-asap dan gas hasil perindustrian ini akan menyebabkan udara di sekitar kawasan petempatan berdekatan menjadi kotor dan menjadi tidak sihat untuk penduduk. Pencemaran air berpunca daripada pembuangan sisa pepejal yang tidak diuruskan dengan baik pula sangat berbahaya kepada sungai-sungai yang menjadi sumber air masyarakt di Seremban.

5. Cadangan Usaha Untuk Mengatasi Kesan Guna Tanah
Senaraikan cara-cara mengatasi / mengurangkan kesan akibat guna tanah yang dipilih

CADANGAN MENGATASI KESAN GUNA TANAH PETEMPATAN

Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan membuat perumahan hijau yang terancang. Pemaju dan kerajaan hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan langkah ini. Pihak pemaju hendaklah merancang dengan teliti terlebih dulu kawasan petempatan yang akan dibina dengan mengambil kira faktor kepadatan penduduk. Kawasan perumahahan yang ingin dibina hendaklah mempunyai sistem perparitan dan pengudaraan yang sistematik agar tidak berlaku pencemaran dan banjir kilat. Di samping itu, kawasan teduhan juga hendaklah diperbanyakkan dengan menanam pokok-pokok bagi menurunkan suhu sekitar kawasan tersebut.

Bukan itu sahaja, kerajaan juga hendaklah memperkenalkan undang-undang bagi mengalakkan pemaju untuk mengambil kira faktor kehijauan kawasan petempatan yang dibina. Imbuhan dan rebat juga boleh diperkenalkan bagi menggalakan pemaju-pemaju menyahut seruan ini. Selain itu, kempen kesedaran dan pendidikan alam sekitar juga hendaklah diperkasakan bagi mendidik penduduk akan kepentingan alam sekitar. Cara-cara mengitar semula sisa pepejal hendaklah diterapkan dari kecil lagi bagi mengurangkan risiko pencemaran hasil pembuangan sisa pepejal yang tidak teratur.

CADANGAN MENGATASI KESAN GUNA TANAH PERINDUSTRIAN

Antara cadangan yang boleh dilakukan bagi mengurangkan masalah pencemaran untuk guna tanah perindustrian adalah dengan menguatkuasakan perundangan. Kerajaan hendaklah memastikan pengilang-pengilang ini membina kilang  mereka dengan menepati piawaian terutama aspek keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar ketika dan selepas projek disiapkan. Denda dan kompaun dimaksimakan bagi memberi pengajaran kepada pengilang agar tidak mengambil remeh isu pencemaran ini. Kerajaan juga boleh memberi galakan kepada pengilang agar menjalankan operasi mereka dengan menggunakan teknologi hijau. Hal ini adalah kerana teknologi hijau mampu mengurangkan kesan pencemaran dan pengeluaran haba yang terlampau tinggi.

Panduan dan tips diatas hanyalah contoh jawapan yang diberikan oleh penulis bagi membantu pelajar-pelajar PT3 dalam tugasan Geografi ini. Calon adalah digalakkan untuk membuat karya jawapan yang asli yang bersesuaian dengan kawasan kajian bagi mendapatkan jawapan yang tepat dan berkualiti
Jika anda rasa panduan ini berguna, sila kongsikan panduan ini kepada rakan-rakan anda bagi membantu mereka menyiapkan tugasan ini dan juga sebagai tanda terima kasih kepada penulis yang menyiapkan tugasan ini
 

Ikuti Kami:

 
 

Artikel Berkaitan